JELLY BELLY Daripada Bintang di TikTok Muncul Single 'ASMARA'
Seorang bintang popular di TikTok yang bersifat dermawan dan sering berperwatakan ‘happy-go-lucky’, Jelly Belly muncul dengan single sulung berjudul ‘ASMARA’. Ciptaan komposer terkenal dan berpengalaman oleh Sharon Paul, dan diterbitkan oleh Bertuah Business.
“Alhamdulillah, ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila akhirnya saya mempunyai single sendiri. Tiada yang mustahil jika kita betul-betul mempunyai impian dan bekerja keras demi mencapainya,” kongsi pemilik nama sebenar, Abdul Jalil Ikram A. Hamid, 33.
Single berona galau dalam nuansa balada pop ini menceritakan tentang perasaan cinta yang mendalam terhadap seseorang yang dikasihinya tetapi kekasih hatinya telah pun berubah hati, namun masih lagi mengharapkan kasih tersebut berulang kembali. Jikalau pendengar semua amati, bait liriknya sangat meruntun jiwa hati seorang kekasih yang meronta-ronta meminta untuk kembali, ditambah pula dengan kelunakan suara Jelly Belly yang ‘serak-serak basah’ seakan-akan penyanyi terkenal Indonesia, Chakra Khan.
Di kalangan pengguna TikTok, nama Jelly Belly bukanlah sesuatu yang asing, dia sering memuat naik konten-konten berupa kemanusiaan dengan berkongsi rezeki bersama peniaga-peniaga kecil dan menghulurkan bantuan buat mereka yang memerlukan.
“Saya hanya mahu berkongsi rezeki kerana ramai di luar sana yang memerlukan pertolongan, walaupun tidak banyak namun sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka, dan semoga menjadi teladan serta inspirasi buat mereka di luar sana agar sifat yang murni ini menjadi ikutan,” kata Jelly Belly.
Selain bersifat dermawan, Jelly Belly sebenarnya mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian, banyak pertandingan nyanyian yang telah disertainya dan memenangi tempat pertama. Perjalanan seninya bermula ketika menyertai pertandingan pencarian bakat Asia’s Got Talent 2018 mewakili Malaysia.
Kini, Jelly Belly mengorak setapak lagi sebagai seorang penyanyi profesional dengan terlahirnya single ASMARA ini, dan semoga kerja-kerja kebajikan yang dilakukannya semakin berkembang, dan lebih banyak lagi pertolongan yang akan dihulurkan
Credit photo : Maestro Media My