DUO MANA BAKAL BAWA PULANG RM100,000? SEGALANYA TERJAWAB AHAD INI DI KEMUNCAK FAMILI DUO MUSIM 4!
Sudah bersiaran selama tujuh minggu, Famili Duo Musim 4 menghampiri kemuncaknya esok dengan persembahan pentas akhir yang bakal menyaksikan pertarungan epik antara tiga duo iaitu Shiha Zikir & Ieda Zikir, Ayie Elham & Salma Asis, serta Tomok & Sharul Kamal di Studio NTV7, Shah Alam.
Menuju ke pentas akhir, tiga duo hebat yang masih bertahan pasti akan memberikan segalanya, mengerah seluruh tenaga dan idea untuk menampilkan semuanya yang belum sempat mereka realisasikan sebelum ini. Hanya tinggal satu langkah memisahkan mereka daripada gelaran juara dan hadiah lumayan bernilai RM100,000 yang menanti!
Pelbagai drama, kejutan, misteri, dan reaksi telah mewarnai perjalanan program realiti ini sepanjang musim. Daripada misteri pendedahan pasangan Naqiu pada awal siaran, insiden duo Didi Astillah & Thamiera yang menghilang kerana merajuk, hinggalah penyingkiran mengejut dua duo, semua ini menjadi bualan hangat di Famili Duo Musim 4!
Sorotan menarik sepanjang musim keempat ini menampilkan pelbagai sketsa, busana, dan konsep kreatif yang diketengahkan oleh keenam-enam duo, memastikan setiap konsert mingguan tampil dengan kelainan yang memukau. Dari tema alam sekitar, Bollywood, mahkamah, penyamun, hinggalah konsep dukun, setiap persembahan disampaikan dengan dedikasi tinggi, mencerminkan usaha gigih setiap duo untuk menghasilkan persembahan yang bertenaga, segar, dan penuh kejutan.
Menariknya, terdapat juga pasangan yang berani menyahut cabaran juri profesional, melangkaui jangkaan mereka dengan persembahan yang meninggalkan senyuman lebar di wajah. Dengan jumlah standing ovation dan markah penuh yang tidak terhitung daripada Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor, ia jelas menunjukkan betapa tekadnya peserta untuk terus menghasilkan persembahan terbaik dan mengekalkan momentum mereka. Dalam tempoh tujuh minggu beraksi, duo sepupu Tomok & Sharul Kamal muncul paling menyerlah dengan meraih gelaran juara mingguan terbanyak, iaitu sebanyak tiga kali.
Pentas yang sentiasa dihiasi dengan bermacam-macam prop dan kemeriahan penari yang menghidupkan naratif setiap persembahan menjadi bukti komitmen luar biasa setiap duo. Bukan sekadar menunjukkan skil nyanyian mereka, mereka juga bereksperimen dengan kreativiti, membawa karakter serta kisah dalam nyanyian sehingga memberi kesan kepada penonton.
Sejauh manakah tiga duo yang bakal bersaing akan meluaskan skala persembahan kali ini? Ketika RM100,000 menjadi taruhan dan rebutan, pasangan manakah yang bakal memukau dan meraih perhatian juri profesional serta penonton? Elemen persembahan apakah yang akan ditonjolkan oleh mereka untuk memaksimumkan kualiti persembahan terakhir ini?
Bersiap sedia menyaksikan persembahan mereka yang penuh bertenaga, menggabungkan lagu-lagu garang dengan tema bebas serta duo/vokal berkumpulan yang pastinya memukau!
Jangan lupa untuk menggunakan hashtag rasmi #FamiliDuo dan #BerduoLebihBaik bagi berkongsi tekaan juara anda dan memeriahkan lagi perbualan di media sosial. Jadi, tunggu apa lagi? Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan pentas akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini, jam 9 malam di TV3!
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, jangan lupa ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia serta TikTok @TV3MalaysiaOfficial.