KAKA AZRAFF MPT, LAIN DARI YANG LAIN
KAKA AZRAFF MPT
Bertempat di Kafe Bijou, Ara Damansara, Kaka telah mengadakan sesi Showcase & Listening Party bersama peminat, pengamal media dan rakan- rakan industri untuk sama-sama meraikan album sulungnya. Kesemua lagu membawakan pengalaman hasil kolektif sepanjang tiga tahun Kaka memilih untuk tidak berada di bawah sorotan utama. Pelbagai pengalaman, perbualan dan perkongsian daripada orang sekeliling menjadi sumber idea utama dalam membentuk arah dan identiti album ini, sekali gus memberi ruang untuk beliau berkarya.

MPT tidak diposisikan sebagai satu bentuk kemunculan semula, tetapi sebagai kesinambungan kepada perjalanan seni Kaka. Ia merupakan satu fasa penyesuaian semula yang memberi makna kepada setiap pengalaman, hubungan dan ruang yang telah dilalui.
Secara keseluruhan, MPT menandakan satu langkah ke hadapan, bukan sahaja dari segi muzik, tetapi juga dari sudut kehidupan, sekali gus mencerminkan kematangan dan perkembangan yang berlaku secara tenang dan berperingkat.
Album ini dihasilkan dengan usahasama pelbagai pihak serta sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta distribusi Universal Music Malaysia. Album MPT akan dilancarkan pada hujung Januari 2026.

