“GILA BAYANG” SINGLE DEBUT PERTAMA AMMAR HAIKAL

“Gila Bayang” mengangkat kisah cinta yang tidak kesampaian serta perasaan terperangkap dalam bayangan seseorang yang sukar dilupakan. Menggabungkan elemen pop modern dengan lirik yang penuh emosi, lagu ini membawa pendengar menyelami perjalanan seseorang yang menyimpan harapan untuk membina masa depan bersama insan tercinta, namun akhirnya kecewa apabila menyedari dirinya bukan satu-satunya pilihan.

"Gila Bayang" yang dinyanyikan oleh penyanyi baru iaitu Ammar Haikal secara rasminya telah melancarkan single debutnya dalam sebuah majlis pelancaran yang berlangsung di XO House Sdn. Bhd., Sungai Buloh. Majlis tersebut turut dihadiri oleh para peminat serta jemputan khas yang hadir bagi meraikan detik penting dalam perjalanan seni Ammar Haikal.

Menariknya, sebelum dilancarkan secara rasmi, “Gila Bayang” telah mencetuskan fenomena awal di TikTok dengan lebih 60,000 video ciptaan pengguna, sekali gus membuktikan sambutan yang amat memberangsangkan daripada para pendengar dan pengguna media sosial.

Menurut Ammar Haikal, “Saya sangat teruja dengan pelancaran single pertama saya ini. Saya berharap para peminat dan pendengar dapat menerima ‘Gila Bayang’ dengan baik. Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan, dan saya harap semua dapat terus mendengar serta menstrim lagu ini.”

Turut berkongsi keterujaannya, Adib Hamdi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, berkata. “Saya sangat gembira dan berbangga melihat perjalanan Ammar Haikal. Bermula sebagai Juara XO CAMP! Musim Pertama, hari ini beliau melancarkan single debutnya sendiri. Ini merupakan antara matlamat utama kami di XO House, iaitu melahirkan generasi baharu bakat tempatan dan memberi peluang kepada mereka untuk membina kerjaya dalam industri muzik. Ammar adalah sebahagian daripada legasi generasi baharu XO House, dan kami berharap ‘Gila Bayang’ menjadi permulaan yang baik untuk perjalanan seninya.”

Muzik video “Gila Bayang” turut menjadi perhatian apabila menampilkan bapa Ammar Haikal sendiri, iaitu penyanyi popular Ameng Spring (Wan Aminuddin bin Wan Ismail). Turut membintangi muzik video tersebut, penyanyi dan personaliti media sosial Alyssa Dezek, yang memainkan watak utama bersama Ammar. Gabungan istimewa ini dijangka memberi daya tarikan tersendiri kepada muzik video “Gila Bayang” serta melengkapkan penceritaan lagu tersebut.

Lagu “Gila Bayang” merupakan hasil ciptaan Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus, yang turut bertanggungjawab menulis lirik lagu ini. Dari segi produksi pula, lagu ini diterbitkan oleh Adib Hamdi.

Dengan melodi yang mudah melekat di ingatan serta penceritaan yang dekat dengan pengalaman ramai, “Gila Bayang” dijangka mampu menyentuh hati para pendengar yang pernah melalui episod cinta yang rumit dan penuh harapan.

Popular posts from this blog

BLACKPINK 2019 WORLD TOUR [IN YOUR AREA] KUALA LUMPUR

JELLY BELLY Daripada Bintang di TikTok Muncul Single 'ASMARA'

Majlis Resepsi Perkahwinan Adik Dato' Aliff Shukri Bertemakan Rumah Hutan & Istana Ratu