PROGRAM KHAS TV3 & 8TV SEMPENA BELANJAWAN 2025
Pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen petang ini, merupakan detik yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Siaran langsung pembentangan ini akan disiarkan menerusi TV3 dan 8TV pada Jumaat, 18 Oktober 2024, jam 4.00 petang. Seiring dengan itu, TV3 dan 8TV akan melaksanakan liputan komprehensif melalui platform berita TV dan digital untuk mengupas secara mendalam mengenai Belanjawan 2025 serta kesannya kepada negara.
Sebagai pelengkap kepada siaran langsung, TV3 akan turut menyiarkan Program Belanjawan 2025 Malaysia Madani mulai jam 3.00 petang. Program istimewa ini dikendalikan oleh Mior Abdul Malek Raiyani dan Farah Nabilah Wazer, bersama dua panel jemputan yang berkaliber dalam bidang ekonomi iaitu Soh Lian Seng, Ketua Percukaian KPMG, dan Dr. Suraya Ismail, Pengarah Penyelidikan KRI. Perbincangan ini akan tertumpu kepada topik-topik penting seperti peruntukan kerajaan untuk kewangan 2025, Skop : Cukai (SST vs GST), Pembangunan Kemudahan dan Infrastruktur, Subsidi Bersasar, Sumbangan Tunai Rahmah (STR), serta elaun-elaun dan sektor yang menjadi tumpuan seperti pendidikan, kesihatan, sukan, dan gaya hidup.
Selepas perbentangan Belanjawan perbincangan akan diteruskan selama 30 minit di mana ahli panel akan mengupas dengan lebih lanjut Belanjawan yang diumumkan, selain memberi analisis menyeluruh mengenainya.
Pada sebelah malam, 8TV akan menyajikan segmen khas menerusi Mandarin News yang berfokuskan Belanjawan 2025 pada jam 8.00 malam, bersama dua tetamu pakar ekonomi yang diundang khas iaitu Dr. Saizi Xiao, pembantu Professor Bidang Ekonomi dari Nottingham University Malaysia dan Dato' Chua Tia Guan, Ketua Perunding Cukai dan Kewangan Asia Business Centre, segmen ini akan merangkumi perbincangan mendalam mengenai implikasi belanjawan terhadap ekonomi negara.
Tidak ketinggalan, 8TV juga akan membawakan episod istimewa, Money Matters yang akan membincangkan secara mendalam Belanjawan 2025. Episod ini yang akan bersiaran pada 9.00 malam, dikendalikan oleh Lim She Ting, dan akan memberikan tumpuan kepada bagaimana Belanjawan 2025 ini akan memberi manfaat yang akan menyumbang pada ekonomi negara kelak. Ulasan atau perbincangan ini akan menjadi lebih menarik dengan pandangan tetamu istimewa yang berpengalaman iaitu Goh Hen Yee, Pengarah YYC Southern Region dan Fan Kah Seong, Bendahari, Persatuan Pengusahaan-Pengusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, akan berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman mereka yang luas dalam bidang cukai dan kewangan. Jadi ayuh jangan lepaskan peluang untuk saksikan Money Matters pada hari ini, 18 Oktober 2024 pada pukul 9.00 malam.
Selain daripada program utama, sebagai tambahan, pasukan berita Rangkaian Televisyen Media Prima telah menghasilkan beberapa laporan khas liputan pra-Belanjawan yang telah bersiaran dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF). Beberapa topik penting telah disiarkan melalui laporan khas di TV3, 8TV, dan TV9, masing-masing dengan durasi 2 minit. Laporan ini meliputi isu-isu seperti:
TV3:
Pembangunan Infrastruktur – siaran bertarikh 9 Oktober
KWSP Akaun Fleksibel– siaran bertarikh 10 Oktober
Kebajikan Rakyat – siaran bertarikh 12 Oktober
Pekebun Getah/Nelayan – siaran bertarikh 13 Oktober
Eko Madani – siaran bertarikh 17 Oktober
8TV:
KWSP Akaun Fleksibel – siaran bertarikh 10 Oktober
Kebajikan Rakyat – siaran bertarikh 13 Oktober
Eko Madani – siaran bertarikh 17 Oktober
TV9:
Inisiatif Pendapatan Rakyat – siaran bertarikh 10 Oktober
Inisiatif Nelayan – sairan bertarikh 13 Oktober
Eko Madani – siaran bertarikh 17 Oktober
Ikuti program khas TV3 dan 8TV seperti, Belanjawan 2025 Malaysia Madani, Mandarin News dan Money Matters sempena Belanjawan 2025. Yang bukan sahaja memberikan analisis komprehensif tetapi juga membantu meningkatkan pemahaman rakyat mengenai kepentingan dan impak Belanjawan 2025 terhadap kehidupan mereka. Program-program ini diharap dapat memberi maklumat yang dikehendaki rakyat Malaysia berhubung Belanjawan 2025.