“MEREKA YANG TERTEWAS: KISAH PERJUANGAN DAKWAH LEBAI PA"
“Mereka Yang Tertewas” adalah filem sebuah adaptasi novel karya DBP yang ditulis oleh Hasanuddin MD Isa dan filem ini disutradarakan oleh Dato’ Zulkeflie M. Osman.
“Mereka Yang Tertewas” dibintangi oleh barisan pelakon utama iaitu Zaidi Omar, Fiza Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Adam Shariz, dan Mubarak Majid. Manakala penulis skrip adalah Rosman MD Shah. Filem ini dikeluarkan oleh syarikat produksi Tujuh Pelangi Maju Sdn Bhd dan ditayangkan pada 7 November 2024.
Filem ini mengetengahkan kisah seorang lelaki bernama Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa yang berhijrah dari kampung asalnya ke Kampung Bukit Setugal untuk menyebarkan ajaran Islam. Filem ini memaparkan bahawa usaha Lebai Pa untuk menyebarkan syiar Islam di Kampung Bukit Setugal ditentang oleh sebahagian penduduk kampung yang beranggapan bahawa beliau menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa.
Namun, Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. dalam menyebarkan agama tetap bersabar dan akhirnya dapat mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam.
Filem adaptasi novel karya DBP ini mengetengahkan isu-isu yang berkait dengan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat setempat.
Menariknya, filem Mereka Yang Tertewas telah berjaya mencuri perhatian di peringkat antarabangsa dengan pencalonan dalam beberapa festival filem terkenal, seperti Cannes World Film Festival, Amigo Blue Film Festival, dan Kuala Lumpur International Film Festival. Ini membuktikan bahawa karya Islamik dari Malaysia mampu memikat hati penonton global dan bersaing dengan karya-karya lain di pentas perfileman antarabangsa.
“Mereka Yang Tertewas telah menerima klasifikasi 13 tahun ke atas daripada pihak berkuasa, menjadikannya sesuai untuk tontonan remaja dan dewasa. Filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 November 2024 dengan MegaMovie sebagai pengedar rasmi.
Isi kandungan filem ini yang menonjolkan kisah perjuangan moral serta mengetengahkan tema islamik yang mendalam ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi buat semua penonton di luar sana.
Selain dapat menyemai nilai-nilai murni dalam semua kalangan masyarakat, Mereka Yang Tertewas ini disampaikan oleh barisan pelakon terkenal dan lakonan yang mantap yang bakal mengiburkan anda sebagai penonton malah mendidik sesuatu ilmu yang baharu buat setiap lapisan masyarakat yang bakal menonton filem ini nanti.
Usaha dan kesungguhan penggiat seni tempatan dalam menghasilkan karya dengan mengangkat novel karya DBP ini iaitu Mereka Yang Tertewas ini mampu dijadikan contoh buat para penonton dan penggiat seni diluar sana dalam menghargai setiap karya filem mahupun novel yang ada untuk diterapkan dalam kehidupan kita sebagai nilai - nilai murni atau moral etika yang positif.
Kalau baik buat tauladan (teladan), kalau tak baik buat sempadan. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem Mereka Yang Tertewas di pawagam berdekatan dengan anda sekarang!