KOTEX #SHE CAN PROJEK TAWAR RM100,000 PADA 10 SEKOLAH YANG BERJUANG DALAM PEMERKASAAN WANITA

Sejak tahun 2018 lagi, Kotex She Can Fund telah memberi ganjaran kepada program dan idea yang memperkasakan wanita serta merealisasikan impian wanita demi memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk mencapai matlamat mereka tanpa terhalang oleh haid mereka.

Sebanyak 129 sekolah di seluruh negara telah menyertai pertandingan Kotex She Can Fund edisi 2021/2022. Kali ini, geran yang dianugerahkan akan digunakan untuk menjadikan sekolah lebih kondusif untuk pelajar perempuan.

YB Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melancarkan majlis penyerahan cek daripada Kotex kepada 10 sekolah berkenaan antaranya 


Menurut Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Arvind Iyer, yang menyerahkan cek kepada 10 orang guru pada hari ini, geran yang diberikan akan digunakan untuk pelbagai inisiatif meningkatkan daya tahan akademik dan emosi dalam kalangan pelajar perempuan.


“Inisiatif- inisiatif ini termasuklah program-program bengkel dan ceramah bertujuan untuk membina disiplin diri dan keyakinan fizikal, emosi dan intelek serta menaik taraf kemudahan sekolah seperti bilik kaunseling, portal ilmu dan tandas.”


Arvind juga menambah bahawa penerima-penerima geran tersebut sememangnya layak untuk dinobatkan sebagai pemenang kerana mereka telah berusaha keras untuk bekerjasama dengan jenama kebersihan wanita terkemuka Kotex bagi memastikan pelajar mereka yang berumur antara 13 dan 17 tahun mengambil bahagian secara aktif dalam projek interaktif Kotex She Can Project, sebuah portal pendidikan pengurusan kesihatan haid dalam talian yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan diperakui oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).


“Program pendidikan kebersihan haid ini sangat kritikal dalam membantu wanita muda memahami bagaimana haid dikaitkan dengan kesihatan reproduktif mereka secara saintifik dan perubahan fizikal yang mereka lalui. Selain itu, kami juga mahu mereka sedar akan implikasi kesihatan dan alam sekitar sekiranya kebersihan haid tidak dijaga,”

Arvind menambah bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha Kotex dalam menamatkan fenomena kemiskinan haid di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa isu kemiskinan haid ini sebenarnya lebih besar daripada masalah akses kepada tuala wanita. Ia juga merangkumi masalah kekurangan pendidikan pengurusan haid dan pengetahuan pengurusan sisa haid.


Kekurangan kesedaran tentang haid membawa kepada kepercayaan umum terhadap wanita yang tidak baik. Kepercayaan umum ini bukan sahaja menjejaskan kepercayaan diri wanita tetapi juga mempengaruhi tingkah laku masyarakat terhadap isu wanita ke arah yang negatif. Ini boleh menghalang kemajuan masyarakat. Sebagai jenama kebersihan feminin terkemuka, Kotex bercita- cita untuk menghentikan gejala kemiskinan haid dan memperkasakan wanita dengan semangat ‘She Can’.

Beliau menekankan bahawa pada tahun lepas Kajian Kemiskinan & Stigma Haid Kotex dalam kalangan 746 murid perempuan berusia antara 10 dan 24 tahun mendedahkan bahawa lebih daripada separuh ingin ponteng sekolah apabila mereka didatangi haid. Kira-kira 68 peratus pula masih percaya bahawa haid adalah subjek tabu dan kajian lisan yang lalu menunjukkan bahawa mereka takut untuk bersuara berkenaan haid kerana takut diusik dan diejek.


Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Nancy Shukri, penemuan sedemikian amat membimbangkan. Kaum wanita mewakili hampir 50 peratus daripada sumber manusia negara Malaysia dengan populasi sebanyak 15.7 juta.

“Seumpama burung yang memerlukan kekuatan dari kedua-dua sayapnya untuk terbang tinggi, kemajuan masyarakat tidak mungkin berlaku sekiranya wanita dibelakangi akibat pantang-larang masyarakat mengenai haid. Memandangkan wanita dan lelaki muda yang bersekolah hari ini akan menyumbang kepada tenaga kerja sektor awam dan swasta dalam masa beberapa tahun sahaja lagi, individu, komuniti dan institusi harus berganding-bahu dan menyumbang ke arah kemajuan holistik untuk belia. Melalui pendidikan dan pengukuhan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, empati, baik hati dan persefahaman, tabu haid yang kini membelenggu wanita boleh dihapuskan dan membawa kepada kemajuan sosio-ekonomi.

Usaha ini mungkin akan mengambil masa, namun ia merupakan sesuatu yang perlu diselesaikan demi masa depan Malaysia. Perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata dan oleh itu, kerjasama pihak awam dan swasta seperti ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan perubahan dalam kalangan masyarakat,”


Beliau juga berharap untuk menyaksikan lebih banyak lagi kerjasama antara kementerian yang berlainan dan agensi serta penglibatan pihak sekolah-sekolah dan guru-guru dalam program pemerkasaan kebersihan haid, pendidikan kesihatan reproduktif serta acara belia awam yang boleh meningkatkan kesedaran mengenai topik ini.

Menurut Pakar Psikologi Pendidikan dan Pengarah Program untuk Sarjana Muda Psikologi di Sekolah Seni dan Sains Liberal Universiti Taylor, Rajalakshmi Ganesan, stigma haid boleh mendatangkan masalah harga diri yang mendalam. Jika dibiarkan, ia boleh meluaskan jurang ketidaksamaan jantina dalam masyarakat.


“Sekiranya haid dilihat sebagai sesuatu yang menyebabkan wanita menjadi “pemarah”, “kotor” atau “murung”, maka haid akan dianggap sebagai sesuatu yang ditakuti,”


Jika tidak diuruskan, ketakutan ini membuak-buak. Ia boleh dialami sepanjang zaman remaja dan universiti dan akhirnya menjelma sebagai satu masalah yang lebih besar apabila mereka menjangkau usia dewasa. Apabila kanak-kanak perempuan menjadi ibu, mereka berkemungkinan membesarkan anak-anak mereka dengan kepercayaan bahawa haid adalah sesuatu yang perlu ditakuti dan tidak boleh dibincangkan dengan sesiapa. Begitu juga, apabila kanak-kanak lelaki dibesarkan dalam persekitaran yang mempunya kepercayaan yang negatif terhadap haid, tingkah laku mereka terhadap kaum wanita juga akan dipengaruhi.


Dia menjelaskan bahawa,


“Apabila seorang wanita dikaitkan dengan stigma sejak dari saat dia mengalami haid pertamanya, dia mungkin menganggap dirinya kurang berkemampuan berbanding dengan rakan-rakan lelakinya. Kepercayaan diri yang negatif sedemikian boleh mendatangkan tingkah laku tidak produktif lain seperti keengganan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti atau ketidakhadiran di sekolah dan selanjutnya.”


Begitu juga, apabila pelajar lelaki terdedah kepada stigma sedemikian di sekolah rendah atau menengah dan dibiarkan berlanjutan, pandangan mereka terhadap kebolehan wanita yang berupaya menyumbang secara produktif kepada syarikat dan ekonomi juga akan terjejas. Ini akan mempengaruhi persepsi dan layanan mereka terhadap kaum wanita.


Beliau juga menambah bahawa melalui pendidikan, wanita muda boleh belajar untuk menerima dan memahami perubahan fisiologi yang mereka alami semasa kitaran haid dan mempelajari cara untuk menguruskan perubahan psikologi dengan berkesan melalui pengamalan gaya hidup yang lebih sihat.


Seorang lagi ahli panel yang baru menamatkan pengajian dari Universiti Malaya dan pengasas perusahaan sosial Kita Geenius, Alma Artin Vaqari bersetuju dengan ulasan Rajalakshmi. Beliau berkata bahawa stigma haid sememangnya wujud di sekolah dan ia juga berterusan sehingga ke universiti walaupun kanak-kanak perempuan sepatutnya sudah menjadi lebih matang ketika itu.


“Kami akan menggunakan kod seperti ‘cuti’ apabila merujuk kepada haid. Apabila kami perlu mehulurkan tuala wanita kepada kawan atau pergi ke tandas untuk menukar tuala wanita, kami akan menyembunyikan tuala wanita kami di dalam buku teks atau di dalam kantung. Sekiranya kami perlu meminta tuala wanita daripada rakan-rakan kami, kami akan berbisik.


“Sebilangan gadis akan mengelakkan dari menyertai pendidikan jasmani kerana bimbang berlaku kebocoran yang boleh menyebabkan mereka dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak suci’,”


Menurut wakil Kumpulan Bajet Gender dan Pengasas perusahaan sosial Athena Empowers Anja Juliah Abu Bakar, kemajuan dalam masyarakat hanya boleh dicapai apabila wanita disokong untuk menjangkau potensi tertinggi mereka seiringan dengan kaum lelaki. Kedua-dua jantina mesti menyumbang kepada modal insan negara dan berkongsi tanggungjawab sebagai penyambung kemajuan sosio-ekonomi. Baharulah kedua-dua jantina boleh menjadi rakan kongsi yang saksama.


Anja berkata, persekitaran pembelajaran yang kondusif memberikan kanak-kanak kesejahteraan dan pengalaman hidup berkomuniti. Di samping itu, ia juga menawarkan kanak-kanak peluang dan kemudahan yang kerap untuk berinteraksi dengan selamat dan secara sihat.


Anja juga menambah bahawa untuk mewujudkan rasa kesejahteraan, gadis muda juga perlu disokong dari segi fizikal dan emosi di sekolah dan beliau berharap kursus pemekaan jantina untuk semua yang terlibat dalam ekosistem pendidikan dimasukkan dalam belanjawan negara untuk mempromosikan ekuiti jantina yang lebih baik di sekolah. Ini tambahnya, termasuk menormalisasikan dan membasmi kemiskinan haid.


“Menormalisasikan haid di sekolah bermakna lelaki dan perempuan belajar untuk memahami antara satu sama lain kerana mereka tahu bahawa sindrom pra-haid dan pendarahan haid hanyalah sebahagian daripada proses biologi wanita yang sihat.


“Apabila seorang gadis muda mengalami emosi yang berbeza, dia boleh bercakap mengenainya secara terbuka dengan rakan sebaya atau guru kaunselingnya. Jika dia bocor semasa terlibat dalam acara sukan, tiada siapa yang akan mengusik atau mengviralkan situasinya di media sosial. Apabila dia perlu menukar tuala wanita, tandas sekolah bersih dan dilengkapi kemudahan sanitasi yang mencukupi,”


Memetik program Kotex She Can sebagai langkah ke arah yang positif menuju ke perubahan sistemik, Anja berharap gabungan awam-swasta yang sedemikian dapat diteruskan kerana ia membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk wanita muda.

Popular posts from this blog

OSK PROPERTY BEKERJASAMA DENGAN PEOPLEUP SINGAPURA YANG BERKONSEPKAN HIBURAN KELUARGA PERTAMA DI ATRIA SHOPPING GALLERY

UNLEASHING CREATIVITY AND POWER WITH THE NEW HUAWEI MATEPAD 11.5”S PAPERMATTE EDITION AND HUAWEI MATEBOOK 14

PRA PELANCARAN GV RIDE PERKHIDMATAN E-HAILING TERBAHARU!